Tidak semua wanita yang tidak mahu
berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar.
Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari lalaki yang
berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh
Allah swt.
Oleh itu mereka terpaksa bertangguh
untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang
beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara
asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di
dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya
kepada isteri dan guru sahaja.
Kita percaya hampir ke semua suami
berjaya menunaikan tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah
zahir(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada ahli
keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin?
Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu
sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak
lebih dari itu.
Bila sesempit itu pandangan mereka,
maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli
keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai mengaji Al Quran, cuai
berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak
hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.
Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud: "Takutlah kepada Allah
dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah
amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan
sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka
ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."
Menunaikan nafkah batin bererti
mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang
sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh
mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada
tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi saw
pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tidak
ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih
besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya. "
Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang
mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami
bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardhu ain iaitu
tauhid, fekah dan tasauf. tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah
mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya,
mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul.
Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam.
Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya bermaksud: "Ketahuilah!
Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya(dan
mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar
kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan
bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan
mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu
hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat)."
Justeru itu, suami mesti mengajarkan
isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas
dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian
air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak
lagi.
Tujuan mempelajari ilmu tasauf pula
supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan
dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada diri sendiri)
sombong dan lain-lain lagi.
Selain daripada perkara-perkara asas
tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia
terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isterinya sekiranya
ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.
Suami perlu memberitahu isteri tentang
adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan
tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual
dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun
mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu
mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama "Beruk
punya anak1" maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk
dilentur perangainya.
Ajarkan juga isteri supaya menghormati
dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya.
Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi
nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah
jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan
keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.
Selalu ingatkan isteri supaya banyak
bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt.
Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita.
Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara,
sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang
bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin
daripada suami.
Isteri yang berjaya dididik dengan
baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya
dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa
menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan,
malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.
Kesimpulannya, inilah sebahagian
daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada
isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan
anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga
dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.
Ibnu Abbas pernah berkata: :Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka."
Kebenaran tetap ada walau dalam kesamaran. Wallahu'alam
Dari: mohd naim mohd zain
Judul: ((Tmn2Syurga))
Judul: ((Tmn2Syurga))