Kamis, 02 Agustus 2012

DIDIK ANAK DEKATI ALLAH DAHULU SEBELUM MENCARI JODOH


Buat ibu bapa yang anak-anaknya meningkat remaja, topik cinta adalah sesuatu yang perlu dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak. Pengaruh budaya luar yang mendesak perhubungan bebas antara lelaki dan wanita serta naluri semula jadi untuk mencari pasangan mewajibkan kita untuk tidak mengabaikan perkara ini. Keinginan untuk hidup berpasangan sememangnya dititipkan dalam jiwa setiap insan. Keinginan mempunyai pasangan ini lazimnya mula terasa semasa usia meningkat remaja.
Saya pernah menghadiri suatu sessi kuliah yang penceramahnya seorang lelaki muda berbangsa Greek, memeluk Islam pada usia dewasa. Menariknya dalam kuliah ini, beliau berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menemui isterinya, seorang wanita Islam dari Malaysia. Katanya, selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan cara hidup lama, tidak lagi mahu ada teman wanita.
Sebaliknya beliau berpegang kepada prinsip, "Find Allah and he or she will find you." Maksudnya,"Carilah Allah dan anda akan temui gadis atau jejaka idaman hatimu." Betapa indahnya konsep ini! Saya kira ini bermakna, jika kita hendak mencari suami atau isteri yang paling sesuai, dekatkanlah diri dengan Allah dan yakinlah bahawa Dia akan pertemukan kita dengan jejaka atau gadis yang secocok dengan kita. Inilah konsep yang amat perlu diterapkan dalam jiwa remaja anak-anak dan diri kita sendiri, iaitu :
- Cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga bermula dengan cinta kepada Allah. Dari sinilah terbitnya cinta kepada orang lain seperti cinta kepada ibu bapa, suami, anak-anak dan sahabat.
- Cinta yang membawa ke syurga antara lelaki dan wanita ialah apabila pasangan lelaki dan wanita ini mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah. Ini bermakna, mendirikan rumahtangga dengan niat untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. yang amat digalakkan oleh Islam.
- Bila suami isteri mencintai satu sama lain kerana Allah, jika timbul konflik, masing-masing tidak egoistik, kedua-duanya akan merujuk kepada AlQuran dan Sunnah dan lebih mudah untuk maaf memaafkan. Dengan itu, perbezaan pendapat ini tidak memanjang menjadi suatu pertelingkahan yang besar dan dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik.
Sehingga si suami bertanggapan isterinya sentiasa mendahulukan kepentingannnya dan si isteri pula merasakan dialah wanita yang bertakhta di hati suaminya. Redhanya suami kepada isteri dan isteri kepada suami ini pada hemat saya adalah satu cara untuk kita menambah saham akhirat dan satu lagi langkah mendekatkan kita kepada Allah dan syurgaNya.
Wallahua'lam.
Biodata Penulis
Jamilah Samian Merupakan seorang Trainer Profesional yang ditauliahkan oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga seorang Neuro Linguistic Programming (NLP) Practitioner berdaftar dengan American Board of NLP.